FIRMAN-NYA: “Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; Dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Surah An-Nuur: 60)
Definisi:-
1. ‘Perempuan tua yang telah putus kedatangan haid,’ iaitu wanita yang sudah tidak berupaya untuk mengandung dan melahirkan zuriat.
2. ‘Tidak mempunyai harapan berkahwin lagi,’ iaitu sudah tidak ada keinginan, kehendak serta hajat untuk berumah tangga.
3. Yang dimaksudkan dengan pakaian luar ialah jilbab, selendang, ridak, purdah dan kain penutup kepala yang dipakai di atas tudung (tetapi masih lagi memelihara aurat dengan tidak menampakkan rambut dan anggota badan). Hal ini disebutkan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir, jil. 3, hlm. 373.
Pendahuluan:-
Kecantikan amat sinonim dengan wanita. Oleh yang demikian, Islam tidak melarang mana-mana wanita untuk kelihatan cantik. Bahkan kecantikan itu sendiri menjadi salah satu tuntutan dalam Islam. Cantik bermaksud bukan sahaja pada rupa atau wajah semata-mata.
Tetapi lebih utama adalah kecantikan akhlak dan tingkah laku yang menyenangkan semua orang sewaktu berdamping dengan kita. Termasuklah tutur kata yang cantik, perilaku yang sopan dan menjaga batasan pergaulan. Cumanya apabila ingin cantik, pastikan kecantikan itu tidak melampaui batas ditetapkan agama.
Dalam konteks pemakaian pula, kecantikan yang sebenar bagi seorang wanita apabila menutup aurat dengan sempurna. Iaitu memelihara kemuliaan anggota tubuh badan dengan pakaian yang patuh syariat dan dalam masa yang sama turut menjaga batas pergaulan dan akhlak serta tidak pula berlebih-lebihan dalam berhias (tabarruj). Sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Ahzab, ayat 33.
Memahami ayat:-
Ayat ini menjelaskan kepada kita perihal kepentingan menjaga aurat dan larangan melakukan tabarruj. Tabarruj bermaksud berlebih-lebihan dalam berhias, bersolek, berdandan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk kecantikan dan perhiasan kepada orang lain.
Larangan ini bukan hanya untuk wanita yang masih muda semata-mata. Akan tetapi wanita yang telah putus kedatangan haid atau ‘menopaus’ juga dilakukan untuk melakukan hal sedemikian. Apabila wanita menjaga aurat dan perhiasan yang dipakai dengan sebaiknya, maka mereka terpelihara daripada perkara tidak baik dan niat jahat kebanyakan mata yang memandang.
Antara perbuatan yang termasuk dalam kategori tabarruj ialah:-
- Memakai pakaian yang nipis dan ketat sehingga menampakkan warna kulit dan bentuk tubuh badan wanita yang memakainya.
- Memakai wangi-wangian yang kuat baunya khususnya di hadapan lelaki yang bukan mahram.
- Berdandan atau bersolek dengan berlebihan sehingga berubah warna kulit disebabkan mekap atau gincu yang boleh menarik perhatian orang lain melihatnya.
- Menutup aurat dengan tidak sempurna. Seperti memakai tudung, tetapi menampakkan sedikit bahagian rambut, lengan atau dada. Atau memakai kain yang singkat sehingga menampakkan kaki. Tidak menutup aurat langsung. Bahkan memakai pakaian yang menjolok mata sehingga keseluruhan bentuk tubuh dizahirkan untuk tatapan umum.
- Memakai perhiasan diri seperti barangan kemas yang banyak dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah.
Terapi kecantikan sebenar pada diri seorang wanita ialah apabila dia melaksanakan apa yang dituntut ALLAH dan meninggalkan larangan-Nya. Antaranya ialah dengan cara banyak berdoa. Contohnya doa yang selalu dibaca ketika melihat cermin, iaitu “Ya ALLAH, Engkau telah menciptakan kejadianku sebegini indah, maka perindahkanlah pula akhlakku.” (Riwayat Al-Baihaqi)
Doa ini bukan hanya sekadar dibaca semata-mata. Tetapi ia adalah harapan kepada ALLAH yang mana kita ingin kelihatan cantik dari semua sudut. Bukan hanya kecantikan luaran tetapi kecantikan dalaman.
Petua cantik juga adalah dengan menjaga solat. Air wuduk yang mengenai wajah kita itulah pencuci muka paling berkesan untuk menyerikan wajah dan hati. Inilah amalan orang-orang soleh pada zaman Nabi SAW dan sahabat termasuklah isteri mereka.
Jangan sesekali menginginkan kecantikan untuk menarik pandangan orang lain. Dikhuatiri kecantikan yang kita tonjolkan itu tidak akan kekal lama. Jangan pula berlebihan dalam berhias sehingga menyukarkan kita untuk berwuduk.
Berkemungkinan besar perkara sebegini akan menyebabkan kita tidak solat kerana sayang pada wajah yang cantik dan mekap yang menarik.
Mudah-mudahan ALLAH memelihara wanita daripada melakukan tabarruj.
Comments
Post a Comment